Monday, 6 January 2014

Mengapa kita tak sembah manusia?



Anak saya, Damia Uzma bertanya “Abah, mengapa kita tak boleh sembah manusia?” selepas dia solat.

Saya terdiam seketika. Kalau orang yang sebaya, saya fikir lebih mudah untuk menjawab soalan itu. Tapi si empunya soalan adalah seorang yang berusia 8 tahun. Setelah berfikir untuk mencari perkataan yang sesuai, akhirnya saya menjawab :

“Kita tak sembah manusia sebab manusia tak sama dengan Tuhan. Kita orang Islam kena percaya, Allah adalah Tuhan semua manusia dan alam ini. Tak ada Tuhan lain; hanya Allah sahaja Tuhan. Manusia lemah. Manusia boleh jatuh sakit, selalu rasa lapar dan dahaga, kena tidur sebab mengantuk dan boleh rasa letih. Allah tak akan sakit, lapar, dahaga, tidur dan letih. Manusia akan mati bila dah tua. Allah tak akan mati. Manusia tak dapat buat semua kerja dan kena minta tolong orang lain. Allah tak perlu sesiapa menolongNya dan Dia mampu buat apa saja. Manusia yang paling pandai pun ada lagi benda yang dia tak tahu. Allah tahu semuanya dan tak ada soalan atau perkara yang Dia tak tahu. Manusia tak mampu cipta planet bumi. Allah bukan saja mencipta bumi tapi bulan, matahari, bintang-bintang dan seluruh alam semesta ini. Allah boleh musnahkan semuanya dalam sekelip mata (sambil petik jari) dan cipta balik semuanya lepas itu dalam sekelip mata (sambil petik jari) juga. Manusia tak akan mampu buat macam itu. Apa saja dalam dunia ni atau alam ini tak mampu buat apa yang Allah mampu buat. Jadi hanya Allah saja yang layak jadi Tuhan dan hanya Dia yang layak kita sembah.”

Saya fikir bukan mudah sebenarnya nak menanam akidah yang benar dalam diri anak-anak kita. Tapi kita mesti buat. Kita wajib buat. Kalau Damia Uzma tak dapat memahami konsep manusia bukan Tuhan, anak saya mungkin akan jadi pengikut ahli kitab, musyrik, Ayah Pin, Tuhan Harun atau lebih buruk lagi Syiah yang bertopengkan Islam tetapi menyembah ahlul bait. Itu sebabnya saya sentiasa mendoakan sesiapa saja yang Muslim agar difaqihkan dalam agama dan semoga non-Muslim mendapat hidayah daripada Allah dengan Islam yang bersih dan benar.

Wallahu a’lam.


Islam 'essence' dan Islam 'appearance'



Apabila sesebuah negara mengisytiharkan ia negara Islam, adakah ia hanya Islam dari segi ‘appearance’ (penampilan) atau Islam dari segi ‘essence’ (intipati)?

Apakah Islam ‘penampilan’?

Jawapan : Ada banyak masjid dan surau, ada masjid yang hebat dan mahal, suatu bangsa itu jumlahnya majoriti dan menganut agama Islam, pemimpin-ketua-menterinya adalah Islam, pada dinding-dinding pejabat dan rumah dilekatkan ayat-ayat al-Quran, di televisyen ada rancangan-rancangan agama Islam, ada wakil yang dihantar ke pertandingan tilawah al-Quran dan begitulah lagi perkara yang seumpamanya.

Apakah Islam ‘intipati’?

Jawapan : Pemimpin Islam yang tak terlibat dalam rasuah yang boleh memusnahkan ekonomi negara, harta negara digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukan pada sebilangan elit tertentu, bangsa majoriti yang menganut Islam adalah Islam yang bersih tauhid dan amalannya dari perkara syirik, bidaah dan khurafat, kerajaan berusaha menerapkan undang-undang Islam ke atas para penganutnya, pusat zakat mengagihkan zakat dengan adil dan menyeluruh, orang-orang atasan termasuk ahli keluarganya dilayan di sisi undang-undang sama seperti rakyat biasa, menghapuskan sistem pinjaman berunsur riba, menghapuskan fahaman ketuanan bangsa kerana Islam adalah universal, semua rakyat tidak kira Muslim atau tak dilayan dan dihukum secara adil dan begitulah lagi perkara yang seumpamanya.


Wallahu a’lam.


Isu Bughah dan Fatwa Mufti Perak



Assalamu ‘alaikum kepada yang mahu menerima petunjuk.

Bughah adalah suatu perkataan yang sangat terkenal yang kini digunakan terhadap rakyat yang melakukan demonstrasi baharu-baharu ini. Bagi Muslim dan non-Muslim yang tak tahu makna bughah, ia bermaksud sekumpulan rakyat di sebuah negara Islam yang mengangkat senjata dengan tujuan untuk memberontak. Ia termasuk di dalam bab Hudud.

Syarat yang paling utama untuk suatu kumpulan itu dianggap melakukan bughah ialah jika mereka memang disahkan mempunyai niat untuk memberontak. Selain itu, kekuatan bertempur atau persenjataan yang mereka miliki juga adalah setanding dengan kekuatan dan persenjataan tentera atau polis dan mereka mampu menang jika bertempur.

Contoh bughah pada masa ini ialah kejadian rampasan kuasa oleh penyangak As-Sisi terhadap kerajaan pimpinan Mursi di Mesir bagi antarabangsa. Di negara kita, contohnya tak lain tak bukan pemberontakan bangsa Sulu di Sabah. Lihatlah betapa lengkapnya mereka bersenjata hingga mampu membunuh anggota keselamatan kita dengan mesingan, bom dan mortar.

Pada baharu-baharu ini rakyat yang turun membantah kerajaan cuma membawa sepanduk, air botol dan garam. Parang yang dijumpai itu pula, bak kata Dr. MAZA “parang-parang yang setiap kali dibawa keluar bila ada demonstrasi berlaku”. Bom dua butir itu pula saya fikir adalah para pelakon yang baharu. Haha!

Sekarang ramai rakyat menuduh Tok Mufti Perak mendapat habuan lumayan kerana berfatwa rakyat yang berdemonstrasi adalah melakukan bughah dan halal darah mereka dibunuh. Saya yang sangat daif dalam ilmu ini tak berani menuduh begitu. Tapi bila membaca fatwa Tok Mufti Perak, saya teringatkan seorang Yahudi munafik yang terkenal bernama Abdullah Bin Saba’. Kerana dialah Uthman Ibn Affan ra dibunuh, berlaku peperangan antara sahabat ra yang mengorbankan puluhan ribu nyawa umat Islam, munculnya puak Khawarij yang membunuh Ali Bin Abi Talib ra dan munculnya puak Syiah yang berbunuh-bunuhan dengan puak ASWJ dari dulu hingga sekarang. Semuanya atas sunnah jahat yang dibawa oleh Abdullah Bin Saba’. Bayangkan berapa banyak dosa yang dia dapat walaupun dah lama mati atas setiap darah umat Islam yang tumpah ke bumi.

Fatwa provokatif Tok Mufti Perak ini ternyata cenderung ke arah membawa sunnah yang jahat. Itu pendapat sayalah yang terdedah pada kesilapan. Tapi bayangkan kebenarannya jika kerajaan bertindak mengarahkan tentera dan polis membunuh puluhan ribu rakyat yang majoritinya beragama Islam yang sedang berdemonstrasi. Kemudian berlaku pertempuran susulan dan bunuh-membunuh yang mengorbankan ratusan ribu nyawa umat Islam seperti di Syria. Semuanya kerana ‘fatwa for sale’ Tok Mufti Perak.

Na’uzubillahi min zaalik kita harapkan agar tak terjadi sebegitu. Jika tidak, saya fikir Tok Mufti Perak layaklah duduk sebaris dengan Abdullah Bin Saba’.


Wallahu a’lam.


Isu umat Islam dan Kristian di Malaysia as at 06-01-2014



Assalamu ‘alaikum kepada yang mahu menerima petunjuk.

Perkara yang paling saya bimbangkan selama ini akhirnya semakin nampak ketara. Iaitu ketegangan di antara umat Islam dengan para penganut agama lain di  Malaysia. Yang terbaharu ialah di antara agama Islam dengan agama Kristian.

Saya faham sensitiviti umat Islam terhadap kedegilan Father Lawrence untuk menggunakan kalimah Allah di dalam artikel agama Kristian. Tapi pada masa yang sama saya berfikir ini adalah peluang terbaik untuk kita berdakwah kepadanya dan kepada seluruh penganut Kristian di Malaysia tentang kebenaran agama kita.

Saya teringatkan kenalan saya yang Allah faqihkan dia dalam agama dan hujah. Tatkala kebanyakan umat Islam di Malaysia minta kerajaan menggunakan kuasa terhadap penganut Kristian, kenalan saya melepak di warung sambil berdialog dengan kawannya penganut Kristian.

Kawannya itu berkata konsep Father, Jesus dan Holy Spirit itu bukannya 1 + 1 + 1 = 3 tapi 1 x 1 x 1 = 1. Itu adalah tanggapannya tentang konsep ketuhanan. Kenalan saya kata jika mereka mengatakan ia adalah konsep triniti, bukankah lebih sesuai ianya 3 x 1 = 3? Panjang lebarlah perdebatan mereka itu, namun ia dibuat dalam suasana yang aman. Pak cik-pak cik yang berada berdekatan pun seronok dengar. Tapi hujah kenalan saya 3 darab 1 itu benar-benar membuatkan kawannya bungkam.

“Habis, apakah konsep ketuhanan orang Islam?” tanyanya. Kawan saya menjawab dengan jawapan yang sangat baik :

“Allah adalah satu-satunya Tuhan semua makhluk dan alam semesta ini. Allah adalah satu-satunya tempat manusia bergantung (hoped). Allah tiada anak dan tiada ibu bapa. Tiada sesuatu makhluk pun yang sama atau setanding dengan Allah. Tiada 1 x 1. Hanya Satu.”

Apakata para agamawan di Malaysia ini panggil Father Lawrence dan ajak dia berdialog atau berdebat secara terbuka dan live untuk jutaan rakyat Malaysia tengok di televisyen? Insyaa Allah saya pasti ia adalah dakwah terbaik untuk non-Muslim tak kira agama apa mereka. Jangan kita menggunakan kuasa sebelum menegakkan hujah seperti yang pernah gereja buat pada zaman kegelapan di Eropah. Ia dikhuatiri akan menjadi fitnah terhadap agama kita.


Wallahu a’lam.

Friday, 18 October 2013

Orang yang sia-sia pahala amalannya. Dalam episod : Kak Mah Meinkun



Orang yang mensia-siakan pahala amalannya.

Dalam episod : Kak Mah Meinkun.

Tersebutlah kisah seorang pencinta kucing yang tegar bernama Kak Mah Meinkun. Banyak kucing yang dibelanya dari pelbagai baka seperti kucing parsi, kucing siam, kucing kampung, kucing bandar, malah kucing industri kecil sederhana pun ada.

Kalau dikira secara zahirnya, memanglah besar dan banyak pahala Kak Mah Meinkun kerana membela dan memberi kucing makan. Malangnya Kak Mah Meinkun tidak pula menyediakan bekas pasir untuk kucing-kucingnya berak dan kencing. Lebih buruk lagi seluruh halaman rumah beliau disimen. Jadi kucing-kucingnya itu pergilah ke rumah jiran-jiran untuk ‘menyemai bakti’ di halaman rumah mereka yang bertanah.

Bisinglah jiran-jiran kerana setiap hari terpaksa membuang tahi kucing ke longkang dan menahan loya dengan bau busuk kencing haiwan-haiwan comel tersebut akan tetapi Kak Mah Meinkun hanya berkata “Apa nak buat, kucing-kucing tu bukannya haiwan berakal.”

Di akhirat kelak, di mahkamah Qadhi Rabbul Jaleel, jiran-jiran Kak Mah Meinkun seperti Sinami (bukan nama sebenar), pak cik dadih, brader Syukri dan Ramli Kilsecpo (kerja kat pesticide) dan ramai lagi akan mengadu kepada Allah tentang kezaliman yang dilakukan oleh beliau. Mereka akan berkata “ Ya Rabb, sesungguhnya Kak Mah Meinkun telah menganiayai kami setiap hari selama berpuluh tahun dan kami mahu menuntut balasan yang setimpal di atas kezalimannya.”

Maka Allah pun mengambil pahala-pahala Kak Mah Meinkun membela kucing, pahala solat fardu dan sunat, pahala haji dan umrah, pahala membayar zakat dan sedekah, pahala puasa serta pahala amal ma’aruf dan nahi mungkar untuk diberikan kepada jiran-jirannya. Sekiranya tidak cukup, maka dosa-dosa mereka pula akan diberikan kepada Kak Mah Meinkun. Kemudian beliau ditimbang di neraca Mizan. Oleh kerana tiada lagi amalan pahala dan banyak pula dosa-dosa kepunyaannya dan milik-milik jirannya yang beliau terpaksa tanggung, maka Allah AWJ memerintahkan malaikat agar menyeret Kak Mah Meinkun dan menghumbankannya ke dalam neraka. Na’uzubillahi min zaalik.

Bagi orang-orang yang memelihara haiwan, jadikan kisah ini sebagai suatu peringatan. Saya berpesan juga kepada diri saya yang serba daif ini.

Wallahu a’lam.